SIARAN AKHBAR
13 Mac 2009
MAFREL AKAN PANTAU PILIHANRAYA KECIL BKT GANTANG, BKT SELAMBAU & BATANG AI
Malaysians for Free and Fair Elections (MAFREL) ingin mengumumkan akan melaksanakan gerakerja pemerhatian pilihanraya dalam Pilihanraya Kecil di P.059 Bukit Gantang, Perak; N.25 Bukit Selambau, Kedah dan N.29 Batang Ai, Sarawak yang telah dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk diadakan serentak pada 29 March 2009 bagi penamaan calon dan 7 April 2009 bagi hari mengundi.
MAFREL melihat ketiga-tiga Pilihanraya Kecil tersebut sebagai kritikal dan unik yang boleh membawa kesan kepada senario politik tanah air. Calon dan parti-parti yang bertanding sudah tentu bertindak bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan mereka.
Pilihanraya kecil P.059 Bukit Gantang, Perak disebut-sebut sebagai pilihanraya yang bakal menyaksikan sentimen pemilih Perak terhadap krisis perlembagaan dan kemelut politik di Perak ditafsirkan dalam bentuk undi atau pungutan suara walaupun kerusi tersebut merupakan kerusi Parlimen. Malah dalam pemantauan MAFREL baru-baru ini di kawasan tersebut, kehangatan pilihanraya sudah dirasai apabila bendera dan logo parti telah berkibaran di merata-rata tempat sedangkan tempoh rasmi kempen belum bermula. Beberapa pilihan foto boleh dilihat di http://www.mafrel.wordpress.com.
Pilihanraya kecil N.25 Bukit Selambau, Kedah pula dianggap sebagai ujian terhadap populariti BN, khasnya MIC serta rekod mereka berkaitan hubungan etnik terutamanya di kalangan kaum India. Mengikut data Pilihanraya Umum ke-12, pengundi India ialah sebanyak 29.53% daripada keseluruhan pengundi Bukit Selambau. Di samping itu, niat penyertaan ramai calon sebagai calon bebas perlu diberikan perhatian.
Manakala Pilihanraya kecil N.29 Batang Ai, Sarawak, walaupun di kawasan pedalaman, tetapi tetap dianggap penting kerana boleh bakal mencorakkan perubahan politik di Sarawak khususnya di kalangan kaum Dayak menjelangnya Pilihanraya Negeri Sarawak yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada tahun 2011.
Untuk itu, MAFREL akan melaksanakan pemerhatian terhadap keseluruhan proses pilihanraya bermula daripada hari penamaan calon, kempen, hari mengundi dan pasca pilihanraya dengan tumpuan kepada perkara-perkara berikut:
1. Senarai daftar pemilih
2. Usaha-usaha memberi atau menawarkan rasuah kepada pengundi-pengundi
3. Penyalahgunaan kemudahan dan jentera kerajaan serta sumber awam
4. Perbuatan atau tindakan ganas dan merbahaya semasa proses pilihanraya
5. Tahap serta jentera keselamatan, khususnya PDRM
6. Liputan media
MAFREL berkeyakinan untuk membuat pemerhatian di ketiga-tiga pilihanraya kecil tersebut dengan tenaga sukarelawan terlatih dan mencukupi untuk kesemua pusat mengundi. Sehingga kini, respons dari sukarelawan yang terlibat semasa Pilihanraya Umum ke-12 dahulu amat menggalakkan namun MAFREL mengalu-alukan warganegara Malaysia untuk turut mendaftar sebagai sukarelawan melalui http://www.mafrel.wordpress.com atau nombor hubungan MAFREL.
Sdr Ong Boon Keong selaku Koordinator Wilayah Utara MAFREL akan bertindak sebagai Pengarah Operasi manakala setiap kawasan pilihanraya kecil akan mempunyai penyelarasnya. Masing-masing bakal mengeluarkan kenyataan untuk mengumumkan gerakerja pemerhatian, latihan dan penggemblengan sukarelawan.
MAFREL ingin merakamkan penghargaannya di atas pengiktirafan yang diberikan oleh SPR untuk MAFREL menjadi pemerhati rasmi dalam pusat-pusat mengundi di ketiga-tiga Pilihanraya Kecil tersebut. MAFREL berharap kerjasama penuh akan dapat diberikan dalam memproses PAS Pemerhati termasuklah memberi kebenaran untuk memerhati proses pengundian dan pengiraan dalam tempat atau saluran mengundi. Pengiktirafan tersebut membolehkan pemerhatian di kawasan-kawasan terhad sebagaimana yang ditetapkan oleh Peraturan Pilihan Raya.
Memandangkan bahawa ketiga-tiga Pilihanraya Kecil tersebut agak berprofil tinggi, MAFREL sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk menggesa pihak SPR untuk kembali kepada persetujuan asal menggunakan dakwat kekal di hari mengundi. MAFREL menegaskan bahawa hanya dengan penggunaan dakwat kekal sahaja dapat SPR membendung dan menghapuskan penipuan dan pengundi hantu.
MAFREL menggagaskan pilihanraya yang berwibawa, aman, bebas dan adil. Ia berdasarkan prinsip-prinsip hak asasi dan demokrasi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, perjanjian dan protokol antarabangsa.
Atas dasar ini, MAFREL ingin menggesa parti-parti lawan dan penyokong memainkan peranan melindungi hak-hak pemilih dengan membenarkan mereka merumus dan memutuskan undi mereka secara bebas tanpa melanggar mana-mana undang-undang dan peraturan pilihanraya. Kebebasan kemahuan dan pilihan pemilih mestilah dihormati.
MAFREL menggesa SPR dan Polis untuk mengamalkan keadilan dan keseimbangan dalam melaksanakan tanggungjawab sepanjang proses pilihanraya dengan mengambilkira kepentingan pemilih.
Sekian, terima kasih.
Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi
——————–
About MAFREL
MAFREL is a non-partisan election observation and monitoring organization formed in 2003. Since its inception, MAFREL has conducted electoral rolls verification programmes to research on the issues of phantom voters and authenticity of the electoral rolls in the states of Kelantan, Terengganu, Selangor and Federal Territory of Kuala Lumpur. MAFREL has also extensive experience in election observation. Since December 2005, it has conducted extensive election observations in the Pengkalan Pasir, Kelantan by-election (December 2005), the 9th Sarawak State Legislative Assembly Elections (2006), the N.6 Batu Talam by-election (2007), the N.8 Macap by-election (2007), the N.11 Ijok by-election (2007). In March 2008 MAFREL received official accreditation from Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) to observe the 12th General Election. It also conducted observation during the by-election in P.044 Permatang Pauh (2008) and P.036 Kuala Terengganu (2009). MAFREL has also participated in international election observation missions in Sri Lanka, the Philippines, Indonesia, Hong Kong, Afghanistan, Thailand and Bangladesh.
For more information, please contact
MAFREL Secretariat
Tel: +603 4149 4248
Fax: +603 4142 2997
Contact persons:
Col (B) Shahrudin Othman (019 23443660, or Arphan Ahmad (012 273 1016)
MAFREL melihat ketiga-tiga Pilihanraya Kecil tersebut sebagai kritikal dan unik yang boleh membawa kesan kepada senario politik tanah air.
Saya jangka bukan bizness MAFREL nak bingung tentang “kesan” jika boleh kita selenggarakan pemilihan yang telus, adil dan bebas daripada segala salahguna, kalau ada pun pekara-perkara yang kecil saja!
Dengan adanya suasana yang “baik” dalam pemilihan bermakna apa saja yang diamanahkan rakyat, itulah keputusan rakyat, bukan perlunya keputusan MAFREL!
Sdra Ibrahim, tumpang tanya sikit! Adakah kenyataan ini untuk rakyat “virtual” atau khalayak ramai yang lazim?
Terima kasih!
Terima kasih mafrel atas tugas anda. Saya tabik.
Sdr Salak,
Kenyataan ini untuk semua. Telah dihantar kepada semua media cetak dan elektronik. Kenyataan saya berhubung kesan lebih merupakan andaian… namun berpandukan pengalaman terlibat dalam pemerhatian pilihanraya negeri dan beberapa pilihan raya kecil. Kita tidak bingung atau rungsing tentangnya…sekadar membuka minda untuk pemerhatian. Sudah tentu MAFREL akan laksanakan berdasarkan fakta dan bola mata sendiri.
Terima kasih atas komen anda.
Syed Ibrahim